OPS & TRAINING
SAF, SPF MENANGANI ANCAMAN KEGANASAN DALAM LATIHAN BERSAMA
13 May 2022
Lebih daripada 700 kakitangan telah menyertai latihan tersebut – kali terakhir latihan berbilang agensi sedemikian dijalankan adalah pada 2019.
Lebih daripada 700 kakitangan telah menyertai latihan tersebut – kali terakhir latihan berbilang agensi sedemikian dijalankan adalah pada 2019.
Pada hari yang biasa di bandar Singapura, bunyi tembak-menembak tiba-tiba kedengaran apabila sekumpulan penembak muncul, mengambil orang tebusan. Di lokasi yang berasingan, seorang lelaki yang memakai rompi bom bunuh diri berjalan dalam kalangan pelajar yang ketakutan, mengancam untuk mencetuskan letupan.
Ini merupakan senario yang dilaksanakan semasa latihan cegah keganasan oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Angkatan Polis Singapura (SPF) dan Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Latihan bersama yang diadakan pada awal pagi 13 Mei ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan oleh SAF dan Home Team untuk menguji tindak balas berbilang agensi terhadap serangan keganasan.
Lebih daripada 700 kakitangan telah mengambil bahagian dalam latihan ini yang diadakan dalam dua fasa – masing-masing di Singapore Expo dan ITE College East.
Anggota yang mengambil bahagian merupakan anggota Pasukan Petugas Pertahanan Pulau (IDTF) dan Pasukan Petugas Operasi Khas SAF, serta Divisyen Polis Bedok SPF, Divisyen Polis Tanglin, Markas Operasi Khas dan Kontinjen Gurkha. Divisyen ke-2 SCDF dan Stesen Bomba Kallang juga turut serta.
Berikut ialah perkara yang berlaku:
Dalam Fasa 1 latihan, kakitangan SPF dan SAF telah bertindak balas terhadap pelbagai senario serangan yang berlaku di Singapore Expo, termasuk Alat Letupan Reka Ganti, penembak aktif dan pengebom berani mati.
Pasukan SPF menyediakan barisan tindak balas yang pertama dan menangani penembak dengan berkesan. Mereka disokong oleh askar daripada Batalion Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer dan Risikan ke-15 (15 C4I Bn) SAF, yang telah menyediakan dron dari seberang Singapore Expo untuk memperoleh pandangan udara dan menilai situasi dengan lebih berkesan.
Anggota daripada Angkatan Pengerahan Tentera (ADF) telah menggempur tempat kejadian untuk membuat kepungan dengan pantas, manakala askar Batalion Komando Pertama telah membuat kepungan luaran untuk membendung situasi sambil memastikan tiada sesiapa yang dapat keluar masuk.
Di ITE College East, gelombang serangan kedua mula berlaku apabila penyerang bersenjata menyerbu sebuah kelas dan mula "menembak".
Pegawai SPF bertindak balas kepada situasi tersebut dengan pantas. Mereka disertai Pasukan Petugas Operasi Khas (SOTF) SAF, dan pelbagai pasukan bekerjasama untuk meneutralkan kumpulan penembak.
SOTF juga mengiringi Kumpulan Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan (CBRE DG) untuk meneutralkan pengebom berani mati dengan pantas dan melucutkan bom.
Apabila situasi terkawal, Pasukan Respons Perubatan SAF dikerahkan untuk menangani kecemasan perubatan. Mereka bertindak pantas untuk merawat mangsa yang tercedera.
SAF dan SPF menjalankan latihan secara tetap untuk meningkatkan tahap ketersediaan operasi dalam operasi keselamatan tanah air.
Latihan ini mengukuhkan tahap kerjasama antara dua pasukan tersebut dalam menangani ancaman keganasan mengikut Rangka Kerja Pengurusan Krisis Dalam Negeri.
ALSO READ IN OPS & TRAINING
LATIHAN WALLABY 2025: UNTUK MELIHAT LEBIH BAIK, MENEMBAK LEBIH PANTAS
31 Oct 2025
SAF memberi tumpuan kepada misi serang yang kompleks dan integrasi berbilang domain dalam Latihan Wallaby 2025, edisi ke-35 latihan luar negara unilateral terbesarnya.
EX WALLABY 25 – INTEGRASI DAN KOMPLEKSITI LEBIH HEBAT
25 Oct 2025
Edisi ke-35 latihan luar negara unilateral terbesar SAF adalah peluang untuk skala yang diperluas dan integrasi yang lebih mendalam ke arah pasukan pejuang yang berkesan dan berangkaian.
LATIHAN FORGING SABER MENINGKATKAN PENGGUNAAN ASET TANPA PEMANDU DALAM OPERASI SERANG BERSEPADU
12 Sep 2025
Dalam Latihan Forging Sabre edisi ke-10 ini, SAF mempertajam kelebihannya untuk medan perang moden yang dinamik, dengan integrasi yang diperluas antara platform berawak dan tanpa pemandu.

