PEOPLE
RAHSIA MEMPEROLEH 100 MARKAH? ANJING SAYA
26 Oct 2022
LTA FELICIA YAP TELAH MEMPEROLEH 100 MARKAH UNTUK IPPT SELAMA EMPAT TAHUN BERTURUT-TURUT. KETAHUI CARA DIA BERBUAT DEMIKIAN, DALAM KISAH KETIGA DARIPADA SIRI IPPT 100 MARKAH KAMI.
Dia seorang gadis yang mudah buat kita iri hati – jenis yang makan banyak, menggemari karbohidrat dan pencuci mulut tetapi masih dapat kekal berbadan kurus dan tegap.
Ayam goreng, kentang goreng, roti, kek, aiskrim – ini merupakan beberapa makanan kegemaran Leftenan (LTA) Felicia Yap. Cara dia membakar kalori tersebut? Berlari setiap hari.
Hal ini semua dapat dilakukan kerana teman lariannya, atau teman berkaki empatnya, Boba. Sejak dia mendapat Boba pada 2019, LTA Yap telah berlari bersamanya supaya Boba mendapat jumlah senaman harian yang diperlukan.
"Saya biasanya tidak mengawasi diet saya, oleh itu saya cuba bersenam untuk membakar kalori daripada apa-apa yang saya makan. Saya menggemari makanan karbohidrat, makanan goreng dan pencuci mulut… jadi jika saya tidak berlari, saya tidak rasa dapat mengekalkan berat badan saya," kata Pegawai Peperangan Udara daripada Skuadron 160 Angkatan Udara Republik Singapura sambil tertawa.
Mengekalkan kecergasan juga mempunyai satu lagi kelebihan – pegawai berumur 31 tahun ini telah memperoleh 100 markah untuk IPPT selama empat tahun berturut-turut sejak 2019.
Ketahui apa lagi yang dia lakukan untuk mengekalkan rekod prestasinya!
LTA Yap, adakah anda sentiasa begitu kurus?
LTA Yap: Tidak… saya sebenarnya mudah naik berat badan! Berat badan saya kira-kira 60kg semasa zaman sekolah menengah kerana saya banyak mengambil makanan segera. Berat badan saya kemudiannya menyusut kepada kira-kira 54kg selepas saya mula berlari dan merentas desa ketika zaman maktab rendah. Kemudian sejak beberapa tahun ini, saya mula berlari lebih kerap (kerana Boba), jadi berat badan saya kini kira-kira 48kg.
Ahh, jadi rahsia anda untuk kekal kurus dan tegap sebenarnya adalah membela anjing lah…
LTA Yap: (tertawa) Sebenarnya, saya memang mula berlari lebih kerap selepas membela Boba kerana dia perlukan senaman hariannya. Tetapi mujurlah begitu kerana saya terpaksa berlari dan saya juga dapat seorang teman larian!
Bagaimanakah corak rejim latihan anda?
LTA Yap: Saya berlari sekurang-kurangnya 4km setiap hari. Kadangkala, saya berlari sehingga 8 atau 10km, bergantung pada Boba. Di tempat kerja, saya cuba pergi ke gim dua kali seminggu. Saya juga sebahagian daripada pasukan perahu naga SAFSA, jadi kami membuat latihan sekali seminggu. Kadangkala, saya berbasikal dengan rakan-rakan atau seminggu sekali jika saya berbasikal secara bersendirian.
Apakah yang mendorong anda untuk mengekalkan rekod 100 markah untuk IPPT?
LTA Yap: Dalam format IPPT lama yang ada lima stesen, stesen paling teruk bagi saya sebenarnya ialah lompat jauh berdiri. Apabila mereka menukar kepada format baharu pada 2019, lebih mudah untuk saya memperoleh markah lebih tinggi. Itu juga tahun pertama saya memperoleh 100 markah.
Selepas itu, 100 markah ini menjadi standard yang perlu saya kekalkan kerana saya tidak mahu orang berpendapat bahawa saya berjaya hanya kerana nasib baik.
Sekiranya begitu, ada apa-apa petua untuk sesiapa yang ingin meningkatkan prestasi IPPT mereka?
LTA Yap: Dengan sistem IPPT baharu ini, anda boleh melakukan latihan di rumah. Cuba lakukan tekan tubi setiap selang sehari dan sekurang-kurangnya 60 kali sepanjang hari.
Apabila menghampiri tarikh IPPT, tingkatkan bilangan tersebut kepada kira-kira 100 supaya anda tahu anda dapat melakukan lebih daripada yang perlu dan tidak rasa tegang pada hari ujian. Bagi 2.4km, teruskan berlari secara kerap supaya anda tahu bahawa anda boleh berusaha melebihi ambang keupayaan anda.
ALSO READ IN PEOPLE
Membawa kepakaran awam mereka untuk menyumbang lebih banyak dalam NS
22 Jan 2026
Pada 21 Januari, SAF mengalu-alukan kumpulan terbesar anggota NS atau NSmen yang menamatkan pengajian di bawah Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat. Temui ME4 (NS) Muhammad Arief Aditya dan ME4 (NS) Mohamed Najid Bin Mohamed Sultan, yang merupakan antara pakar tentera yang baru dilantik ini.
Penjaga warisan
15 Dec 2025
Beliau membantu membina pesawat pertama RSAF. Beliau pula merupakan antara wanita pertama yang menyertai tentera laut. Beliau menguruskan krisis komunikasi ketika bunyi bip pager membawa masalah. Temui veteran-veteran ini yang melihat Singapura melalui zaman pergolakan untuk membina SAF yang kuat.
Bangkit mengatasi arus & melangkah ke hadapan untuk memimpin
13 Dec 2025
Mereka antara kumpulan graduan pegawai SAF yang terbaru tahun ini. Temui 2LT Mohamad Wira Kuriniawan dan 2LT Ryan Ong, yang masing-masing akan mengetuai Skuadron 180 Tentera Laut dan Batalion Pertama, Pengawal Singapura.

