PEOPLE
MENUJU LANGIT
10 Sep 2022
Menyambut hari jadi anda yang ke-18 di langit sambil memandu kapal terbang bukan sesuatu yang dapat dilakukan oleh semua orang. Namun, itulah yang dilakukan oleh Lavesh Cheyne R pada tahun lalu – juruterbang muda ini menganggap pengalaman tersebut salah satu yang paling tidak dapat dilupakan semasa menghadiri kursus Lesen Juruterbang Persendirian (PPL).
Menyambut hari jadi anda yang ke-18 di langit sambil memandu kapal terbang bukan sesuatu yang dapat dilakukan oleh semua orang. Namun, itulah yang dilakukan oleh Lavesh Cheyne R pada tahun lalu – juruterbang muda ini menganggap pengalaman tersebut salah satu yang paling tidak dapat dilupakan semasa menghadiri kursus Lesen Juruterbang Persendirian (PPL).
"Memandu kapal terbang ke kawasan latihan dan meluncur di ketinggian 6,500 kaki pada waktu pagi yang dingin dan indah merupakan pemandangan menawan yang saya tidak akan dapat lupakan. Melakukan aktiviti kegemaran saya pada hari jadi saya sememangnya permulaan hari yang sempurna."
Pelajar Politeknik Temasek ini memperoleh satu lagi pencapaian dalam perjalanan juruterbangnya pada 10 September apabila dia menerima Lencana Juruterbang PPL. Seorang daripada 24 graduan Kelab Penerbangan Belia Singapura tahun ini, dia juga telah memperoleh Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Teknologi Singapura (ST) bagi prestasi penerbangan yang cemerlang.
Anugerah ini diberikan kepada tiga graduan terbaik dalam kategori sekolah penerbangan dan darat bagi kelab ini.
Permulaan dari kecil
Minat Lavesh terhadap penerbangan telah bangkit dari zaman kanak-kanak lagi kerana bapanya – seorang juruterbang Singapore Airlines (SIA) – dan ibunya – seorang Pakar Operasi dan Sistem Udara di Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) – mempunyai latar belakang bidang penerbangan.
Menyebut ibu bapanya sebagai sumber utama inspirasi untuk mengejar impian menjadi juruterbang, Lavesh berkata: "Saya sentiasa terdedah kepada dunia penerbangan, sama ada komersial atau tentera. Saya menggemari kisah yang mereka ceritakan semasa saya kecil (dan) sehingga kini, saya masih belajar tentang bidang penerbangan daripada ibu bapa saya."
Dia juga gembira mengenangkan masa yang dihabiskan oleh keluarganya di Australia semasa mereka menemani bapanya untuk latihan juruterbang. "Saya mengingati rasa kagum apabila melihat pesawat berlepas dan mendarat."
Lawatan ke Pertunjukan Udara Singapura selama bertahun-tahun, yang membuatkan dia terpesona dengan pameran pesawat pegun dan persembahan udara dinamik, telah menyemarakkan lagi minatnya untuk memandu kapal terbang.
Pada umur 13 tahun, Lavesh membuat keputusan untuk menyertai program Aktiviti Ko-kurikulum Pemodelan Pesawat SYFC untuk pelajar sekolah menengah.
Merenung kembali, dia berkata: "Saya menyertai kelab itu kerana minat saya terhadap penerbangan dan berharap itu akan menjadi langkah pertama saya untuk akhirnya mempelajari cara memandu pesawat apabila saya berumur 16 tahun dan boleh mendaftar untuk kursus penerbangan mereka."
Dengan kecekalan dan keazaman
Walau bagaimanapun, bukan semuanya berjalan lancar untuk juruterbang baharu ini. Pelajar berumur 18 tahun yang sedang membuat pengajian diploma dalam Bioteknologi Perubatan ini menganggap disiplin diri, pengurusan masa yang efisien dan pemikiran yang tabah adalah penting untuk membantu dirinya dalam mengimbangkan komitmen akademik dan keluarganya, serta latihan penerbangan yang ketat.
"Bagi saya, kursus PPL tidak senang… Ada hari yang saya rasa telah tunjukkan prestasi baik semasa penerbangan saya, tetapi terdapat juga hari yang saya tidak begitu berjaya.
"Kadangkala saya pulang ke rumah sambil rasa kecewa, tetapi saya cuba gunakan perasaan itu sebagai sumber motivasi untuk lakukan lebih baik bagi penerbangan seterusnya."
Semasa latihan juruterbang intensif selama setahun dengan SYFC, graduan harus lulus ujian penerbangan amali dan tujuh peperiksaan darat yang ditadbir oleh Lembaga Penerbangan Awam Singapura.
Kini, selepas memperoleh lencananya, Lavesh berminat untuk menambah lagi pencapaian penerbangannya dan berharap dapat menjadi juruterbang tentera. "Menyertai RSAF akan memberi saya peluang mengejar impian untuk menjadi juruterbang pesawat tempur serta berkhidmat demi negara."
Pesawat kegemarannya? F-15SG! "Saya menggemari rupa pesawat tersebut yang tajam dan bengis, enjin berkembar yang berkuasa, dan senjata canggih yang dapat dibawa."
Menurutnya juga: "Saya tinggal amat berhampiran dengan Pangkalan Udara Paya Lebar dan sering dapat lihat pesawat itu apabila saya memandang langit. Bunyi enjin, cara pesawat itu bergerak di udara… Sememangnya menawan.
"Jika saya dapat memandu pesawat F-15SG pada suatu hari nanti, saya menganggap peluang tersebut sebagai suatu penghormatan. Saya telah menetapkan matlamat tersebut untuk diri saya dan akan terus berusaha mencapai impian tersebut."
ALSO READ IN PEOPLE
Membawa kepakaran awam mereka untuk menyumbang lebih banyak dalam NS
22 Jan 2026
Pada 21 Januari, SAF mengalu-alukan kumpulan terbesar anggota NS atau NSmen yang menamatkan pengajian di bawah Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat. Temui ME4 (NS) Muhammad Arief Aditya dan ME4 (NS) Mohamed Najid Bin Mohamed Sultan, yang merupakan antara pakar tentera yang baru dilantik ini.
Penjaga warisan
15 Dec 2025
Beliau membantu membina pesawat pertama RSAF. Beliau pula merupakan antara wanita pertama yang menyertai tentera laut. Beliau menguruskan krisis komunikasi ketika bunyi bip pager membawa masalah. Temui veteran-veteran ini yang melihat Singapura melalui zaman pergolakan untuk membina SAF yang kuat.
Bangkit mengatasi arus & melangkah ke hadapan untuk memimpin
13 Dec 2025
Mereka antara kumpulan graduan pegawai SAF yang terbaru tahun ini. Temui 2LT Mohamad Wira Kuriniawan dan 2LT Ryan Ong, yang masing-masing akan mengetuai Skuadron 180 Tentera Laut dan Batalion Pertama, Pengawal Singapura.



