KAKAK KEPADA SEMUA

06mar23_news1-thumbnail https://www.defencepioneer.sg/images/default-source/_migrated_my/06mar23_news1-thumbnail.jpg?sfvrsn=3aa17f0b_2 https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/KAKAK-KEPADA-SEMUA
https://www.defencepioneer.sg/pioneer-articles/KAKAK-KEPADA-SEMUA
KAKAK KEPADA SEMUA
06 Mar 2023 | PEOPLE

KAKAK KEPADA SEMUA

//KISAH BENITA TEO // FOTO LCP LIONEL LEE, CHAI SIAN LIANG & IHSAN 3WO NURJIWAH

Baik di rumah mahupun dalam kem, "Puan Gee" adalah kakak tersayang yang sentiasa akan mendekati sesiapa yang memerlukan bantuan.

3WO Nurjiwah (tiga dari kiri) merupakan tonggak sokongan yang kuat bagi ibu bapa dan adik-beradiknya. Bersama-samanya ialah ibunya (tiga dari kanan) dan empat daripada lapan adik-beradiknya.

Adakah anda masih ingat masa remaja anda? Mungkin anda sudah biasa menuntut di sekolah menengah, menjalani aktiviti ko-kurikulum baharu, atau bergaul dengan rakan-rakan.

Pada usia 13 tahun, Pegawai Waran Ketiga (3WO) Nurjiwah Binte Kassim mengambil keputusan untuk mendapatkan kerja sambilan, mengimbangi kerja dan pelajaran untuk meringankan beban ibu bapanya dan membantu menjaga lapan adik-beradiknya.

Sehingga hari ini, pegawai yang berusia 41 tahun itu masih bergelar kakak. Dikenali dengan gelaran mesra Puan Gee oleh Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), Waran Logistik Institut Latihan Perubatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) (SMTI) sentiasa bersedia untuk memberi nasihat atau memasang telinga mendengar luahan askar yang menghadapi kesusahan.

3WO Nurjiwah (tengah, berbaju hijau) mula bekerja sambilan semasa berusia 13 tahun untuk membantu meringankan beban ibu bapanya, yang sedang menjalankan beberapa pekerjaan.

Hai 3WO Nurjiwah! Sila ceritakan sedikit sebanyak tentang keluarga anda!

3WO Nurjiwah: Keluarga kami agak besar – saya adalah anak keenam daripada sembilan adik-beradik (saya ada seorang abang yang meninggal dunia ketika dia masih kecil), dan 24 cucu kesemuanya dalam keluarga! Pra-pandemik, kami biasa menyewa bas untuk mengangkut semua orang pergi melawat semasa Hari Raya.

Kenapa anda mengambil keputusan untuk bekerja pada usia 13 tahun?

3WO Nurjiwah: Saya ingin meringankan beban ibu dan arwah ayah saya. Ayah saya seorang pekerja buruh dan tukang beca, dan ibu saya bekerja sebagai atendan letak kereta dan membantu orang ramai menyeterika pakaian.

Ibu bapa saya tidak pernah menyuruh saya mencari kerja, malahan saya memberitahu ayah saya dengan senyap keinginan saya untuk bekerja. Saya berkata kepadanya, "Ibu dan ayah bekerja kuat, dan saya mahu perlu kamu berdua berehat dan meluangkan masa bersama kami."

3WO Nurjiwah bersama-sama suaminya, 3WO Baby Rieswan Fandy Bin Mohamed Swandi, dan anak lelaki mereka, Mohammed Rayyan Bin Baby Rieswan Fandy.

Apakah jenis pekerjaan yang anda lakukan dahulu?

3WO Nurjiwah: Saya bekerja di A&W, di mana saya bermula dengan mencuci tandas! (bergelak) Pada suatu masa, saya bekerja tiga pekerjaan untuk menyara keluarga, termasuk di restoran Thai dan kedai kasut. Saya akan memberi sebahagian daripada gaji saya kepada ibu dan selebihnya untuk membeli buku sekolah dan keperluan saya.

Tetapi saya tidak pernah menganggapnya sebagai satu pengorbanan; saya seronok bekerja dan saya banyak belajar – khususnya, betapa sukarnya untuk mencari wang.

3WO Nurjiwah kini bertugas sebagai Waran Logistik di SMTI.

Pernahkah anda mengalami detik-detik yang amat pahit?

3WO Nurjiwah: Ada suatu masanya – ketika saya berusia kira-kira 19 tahun – apabila hanya saya dan abang yang ada pendapatan yang stabil di rumah. Salah seorang abang saya diberhentikan kerja dan kakak saya seorang suri rumah, manakala adik-adik saya masih bersekolah. Tetapi saya tidak pernah terfikir tentang stres, saya hanya terus bekerja.

Saya selalu macam ni, sehinggalah hari ini. Saya sedang mengambil diploma sambilan dalam Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan (yang ditaja oleh SAF) semasa bekerja. Selain itu, saya seorang ibu kepada anak lelaki saya, Rayyan yang berusia sembilan tahun.

Apabila orang bertanya kepada saya, "Betulkah ni? Bolehkah anda menguruskannya?" Saya menjawab: "Lakukan sahaja, jangan banyak berfikir. Hanya percaya anda boleh melakukannya dan teruskan!"

3WO Nurjiwah (tengah, latar depan, berhijab hitam) memberi penghargaan kepada keluarganya kerana membentuk dirinya sekarang, termasuk abang-abangnya yang menggalakkannya untuk menyertai SAF.

Kenapa anda berasa ia tanggungjawab anda untuk membantu menyara keluarga anda?

3WO Nurjiwah: Masing-masing ada perspektif sendiri yang berbeza. Bagi saya, saya sentiasa bertanggungjawab terhadap ibu bapa saya dan saya tidak mahu melihat mereka bersusah-payah, terutamanya ibu saya. Ibu seorang wanita yang kuat, dan kami semua mewarisi sifatnya!

Keluarga adalah sangat penting bagi saya – kami tidak akan berputus asa sesama sendiri, tidak kira betapa desaknya keadaan. Itulah sebabnya segala pengorbanan saya adalah memang berbaloi.

3WO Nurjiwah (baris hadapan, kedua dari kanan) bersama dengan para pelatih Kursus Sarjan Kuarter Master Kompeni pada Oktober 2022.

Kami dengar abang-abang anda yang memberi ilham untuk menyertai SAF?

3WO Nurjiwah: Ya, merekalah sebabnya saya mendaftar. Abang sulung saya adalah seorang juruteknik dan adik bongsu saya, seorang infantri di SAF. Abang kedua saya pula bertugas di Markas Operasi Khas Angkatan Polis Singapura.

Saya menyaksikan bagaimana Perkhidmatan Negara mengubah mereka daripada lelaki muda kepada lelaki matang. Saya pun cergas, dan pada saya jika abang-abang saya boleh melakukannya, saya pun boleh! Saya juga terharu melihat berita tentang penyertaan SAF dalam misi menyelamat untuk membantu negara yang dilanda bencana alam. Ia mendorong saya untuk melibatkan diri dalam pasukan tersebut.

Saya mendaftar pada 2008 ketika berusia 25 tahun. Saya adalah pendaftar yang tertua dalam Latihan Asas Tentera (BMT) – lebih tua daripada Pegawai Pemerintah, Sarjan Platun, Komander Platun dan semua rakan saya! Saya tidak mendapati BMT sukar sama sekali, sebaliknya saya menikmati latihannya! Saya juga menyimpan kenangan yang sangat manis tentang encik-encik yang lama. Saya menghargai bimbingan mereka dan tidak mungkin saya boleh berada di tahap ini tanpa tunjuk ajar mereka.

3WO Nurjiwah (tengah) melatih medik NSF untuk melengkapkan ambulans tempur.

Bagaimanakah perasaan anda setelah menyertai SMTI?

3WO Nurjiwah: Saya menyertai SMTI pada April 2021, di tengah-tengah pandemik COVID-19. Pada masa itu, saya bimbang sama ada saya boleh menyumbang kepada unit. Tetapi unit itu berkumpul, semua jururawat dan doktor yang sangat berpengalaman, dan bersatu hati.

Kami bekerja bersama dengan Anggota Perkhidmatan Negara Sedia Beroperasi untuk menyokong latihan calitan di seluruh negara. Peranan saya adalah untuk menyediakan semua keperluan mereka, seperti PPE (peralatan pelindung diri).

3WO Nurjiwah (kanan sekali) memberi taklimat kepada Pembantu Bekalannya tentang peralatan yang akan diberikan kepada unit tersebut.

Sekarang, saya mengetuai pasukan logistik di SMTI. Selain menengokkan keperluan logistik SMTI, saya juga melatih anggota kerahan dan memastikan agar mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan baik.

Bila saya mula-mula datang ke SMTI, saya tidak ada latar belakang perubatan dan tidak tahu-menahu tentang nama peralatan dan bagaimana untuk menggunanya. Tetapi saya berasa syukur kerana setiap kali saya minta bantuan, Pakar Tentera Perubatan akan tampil ke hadapan untuk membimbing saya.

Saya percaya adalah penting untuk membina hubungan dan perkongsian. Pegawai senior boleh belajar daripada junior dan kami boleh saling bertukar ilmu sambil menghormati jawatan masing-masing.

3WO Nurjiwah (kanan sekali) sentiasa bersedia untuk memasang telinga, terutamanya bagi Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa yang menghadapi kesusahan.

Kami mendapat tahu, anda adalah kaunselor tidak rasmi di unit anda!

3WO Nurjiwah: Saya pun tidak tahu kenapa mereka berasa senang menceritakan masalah mereka, baik pun pak cik atau mak cik di rumah masak!

Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa saya mengatakan saya ni umpama kakak kepada mereka dan mereka berasa selesa dengan saya, kerana saya sentiasa memberikan penyelesaian yang berkesan. Saya juga tidak segan berkongsi pengalaman hidup saya dengan mereka kerana saya tidak mahu mereka melakukan kesilapan yang sama seperti saya.

Saya sentiasa menghormati mereka yang mendekati saya, tidak kira siapa mereka. Usah cepat menilai atau membuat andaian tentang mereka, sebaliknya dengar luahan mereka. Ada juga Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa saya yang sangat pemalu, takut untuk bercakap dengan orang. Saya seorang ekstrovert dan akan duduk bersembang mesra dengan mereka.

Saya selalu memberitahu askar-askar saya agar tidak memandang kelainan di antara satu sama lain. Kami memakai pakaian seragam, jadi perkataan "unison" adalah penting bagi kami. Kami akan mengangkat sesiapa yang jatuh dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang. Inilah satu petua yang saya sampaikan kepada semua askar saya.

Suggested Reading
BAKAT MUDA KOMITED UNTUK PERTAHANAN SINGAPURA
PEOPLE
13 Aug 2025

Sebanyak 82 Anugerah Biasiswa Pertahanan telah disampaikan kepada calon pelajar muda yang bercita-cita tinggi tahun ini.

SG60 Sambutan di Kawasan Perumahan Awam
COMMUNITY
10 Aug 2025

Sambutan Hari Kebangsaan mungkin sudah berakhir, namun kemeriahannya diteruskan hingga sepanjang hujung minggu dengan pelbagai acara di seluruh pulau!

Cover story
SELAMAT ULANG TAHUN KE-60, SINGAPURA!
COMMUNITY
09 Aug 2025

Feature
JUARA UNTUK INOVASI
TECHNOLOGY
30 Jul 2025

Sebelas Anugerah Menteri Pertahanan (MDA) diberikan pada tahun ini, untuk inovasi oleh kakitangan MINDEF dan SAF yang membawa kepada kecekapan yang lebih baik dan keadaan kerja yang lebih selamat.

Feature
LOMPATAN GERGASI KE DALAM BUT BARU
PEOPLE
29 Jul 2025

Perubahan kerjaya tidak pernah mudah, tetapi melompat keluar dari zon selesa mereka ke SAF adalah apa yang diinginkan oleh wanita-wanita pertengahan kerjaya ME4 Jessica Ho dan ME4 V. Yoginita.

Feature
DI BELAKANG PERBARISAN
COMMUNITY
28 Jul 2025

Berbulan-bulan bekerja keras dan hujung minggu yang dihabiskan, semuanya untuk pesta ulang tahun terbesar Singapura. Inilah pas belakang pentas anda untuk Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini!

SUKARELAWAN MINDEF DIHORMATI ATAS SUMBANGAN KEPADA PERTAHANAN S'PURA
COMMUNITY
24 Jul 2025

Sukarelawan-sukarelawan ini memainkan peranan penting dalam mempromosi kesedaran tentang hal-hal pertahanan kepada orang ramai dan memberi inspirasi atas sokongan kepada Perkhidmatan Negara.

DARIPADA JURUAUDIT KEPADA PEGAWAI PERANG UDARA
PEOPLE
23 Jul 2025

LTA Liz Voon menukar audit kewangan untuk misi pertahanan udara. Temui wanita pertengahan kerjaya ini yang meninggalkan salah satu firma perakaunan "4 Besar" untuk meneruskan tujuannya dalam RSAF, dalam siri "Dari Meja ke Lapangan" PIONEER!

PAPARAN KAPAL HEBAT NDP 2025 DI TELUK MARINA
COMMUNITY
19 Jul 2025

Paparan maritim adalah sebahagian daripada kontinjen kenderaan NDP khas tahun ini, menyertai terbang lalu udara di atas Padang dan pandu lalu di sepanjang St Andrew’s Road.

APABILA INOVASI KEJURUTERAAN MENEMUI PERTAHANAN NEGARA
PEOPLE
16 Jul 2025

ME5 Joshua Tay membawa 18 tahun kepakaran dalam pelbagai bidang ke Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS). Temui ahli pertengahan kerjaya ini dalam siri terbaharu PIONEER "Dari Meja ke Lapangan"!