PEOPLE
BIMBINGAN BAGI KELASI MUDA
14 Sep 2022
Dia pernah melindungi perairan Singapura sebagai Penyelia Sistem Navigasi. Kini, ME3 Woon Wei Wen melatih generasi seterusnya dalam mencartakan arah hidup mereka.
Membaca carta, menentukan arah laluan, mentafsirkan istilah laut baharu yang tidak diketahui. Tidak mudah untuk menikmati pembelajaran apabila bidang pekerjaan anda merupakan salah satu aspek paling teknikal dalam navigasi laut.
Namun, Pakar Tentera (ME) 3 Woon Wei Wen membuatkan pembelajaran seronok untuk pelatihnya.
Setelah berlayar dengan Angkatan Laut Republik Singapura selama 13 tahun, ME3 Woon kini seorang jurulatih di Sekolah Sistem Sensor Institut Pakar Tentera Laut, iaitu tempat dia melatih dan melayakkan Operator Sistem Navigasi baharu.
"Gaya latihannya adalah menyeronokkan… Dia berjenaka dengan kami dan juga seperti tokoh bapa yang berleter, tetapi dengan cara yang baik," kata ME1(T) Theodore Soh, seorang pelatih yang akan melengkapkan Kursus Pakar Asas (BSC) 1 pada akhir bulan ini.
Sebagai jurulatih, ME3 Woon menjalankan kursus selama empat bulan tersebut untuk Anggota Khidmat Negara Penuh Masa dan Anggota Tetap, serta satu lagi kursus BSC2 22 minggu dan latihan lanjutan lain untuk Anggota Tetap.
Dia juga bekerjasama rapat dengan flotila operasi untuk memastikan bahawa pelatih dapat menjalani latihan dengan baik apabila dihantar menaiki kapal untuk latihan sambil bekerja dan pengerahan pada masa kemudian.
Navigator yang berleter tetapi penyayang
ME3 Woon berkata kaedah mengajarnya jauh berbeza daripada zaman dahulu iaitu apabila pelatih hanya "memuat turun" maklumat daripada jurulatih mereka.
Sebaliknya, jurulatih berumur 42 tahun ini lebih menggemari pendekatan berasaskan perbincangan, seringkali mendorong pelatih untuk berkongsi perkara yang dipelajari oleh mereka bersama dengan kelas. "Selepas latihan, saya akan membuat ringkasan dan menambah apa-apa pengajaran penting yang saya peroleh semasa berkhidmat di kapal," katanya.
ME1(T) Soh, 21, menambah: "Bagi saya, dia berleter tentang segala-galanya kerana saya tidak mahir dalam topik bersifat teori. Tetapi apabila dia mengulangi topik tersebut, saya akan ingat (maklumat tersebut)."
Dedikasi ME3 Woon lebih daripada sekadar penyampaian ilmu, kata rakan pelatih BSC1 Kadet Pakar (SCT) Tan Wei Ye.
Pada suatu ketika, para pelatih perlu menghadiri kelas amali pelabuhan pada pagi selepas melakukan tugas kuartermaster semalaman.
"Dia membuat aturan tambahan supaya kumpulan lain mengambil alih tugas kami – dan kami akan membantu mereka pada kali seterusnya – supaya kami dapat rehat secukupnya dan bersedia untuk belajar," kata SCT Tan, seorang Anggota Khidmat Negara Penuh Masa (NSF).
Anggota berumur 18 tahun ini juga memperoleh sokongan daripada jurulatihnya apabila dia tiba-tiba didiagnosis menghidap mioklonus pada pertengahan kursus. Mioklonus ialah sejenis penyakit yang menyebabkan sentapan atau sentakan yang tidak sengaja.
"Dia menemui cara untuk membantu saya mengejar semula pelajaran jika saya terlepas beberapa modul. Dia benar-benar menggalakkan saya untuk menghadapi masalah ini, dan untuk menyelesaikan kursus saya," kata SCT Tan.
Semua di atas kapal sama
Jika anda ingin mencari seseorang yang arif tentang pengalaman sebagai kelasi, itu sememangnya ME3 Woon. Dia telah masuk tentera pada 2001 sebagai Operator Sistem Navigasi di atas bekas Kapal Peronda RSS Justice, kemudian berusaha keras sehingga memperoleh peranan sebagai penyelia.
Pada 2013, dia berpindah ke Kapal Korvet Peluru Berpandu, iaitu RSS Valour, dan di sana dia mengambil bahagian dalam pelbagai latihan dengan tentera laut jiran seperti Malaysia dan Thailand.
Semasa di atas kapal RSS Valour, dia juga dikerahkan untuk operasi pencarian kapal terbang AirAsia QZ8501 yang hilang pada 2014. "Kapal saya tunggu sedia: kami dikerahkan pada 28 Disember dan bertolak pada malam itu juga.
"Sebagai Penyelia Sistem Navigasi serta Penyelia Anjungan, saya perlu memastikan kapal saya selamat sepanjang operasi tersebut dan mengawasi keadaan anak kapal saya," ingat ME3 Woon, tentang pengerahan selama lapan hari tersebut.
Pada 2018, dia menyertai NMI sebagai jurulatih dan telah mengajar di sana sejak itu.
Cari saya pada bila-bila masa
Dengan sikap mesra ME3 Woon, tidak hairan bahawa kebanyakan bekas pelatihnya masih terus berhubung dengannya selepas lulus pengajian.
Dia berkongsi kumpulan Telegram bersama mereka, yang aktif dengan pelbagai jenis mesej daripada perbualan tidak tentu hinggalah memohon bantuan untuk mencari kerja.
Baru-baru ini, beberapa bekas pelatih meminta bantuan ME3 Woon apabila kapal mereka berada di limbungan penyelenggaraan kapal untuk pemeriksaan servis tetapi mereka tidak menjumpai pemutus litar.
"Demi kepastian, saya meneliti manual semula untuk mengkaji gambar rajah yang berkaitan dan menghantar gambar rajah tersebut kepada mereka," kata ME3 Woon.
"Selepas mereka cuba dan berjaya, saya berkata, 'Eh ini saya sudah pernah ajar, bukan? Sudah terlupa? Tidak apa-apa, cari saya sahaja jika ada apa-apa masalah.'"
Tentang keutamaan terbesarnya sebagai jurulatih, dia menyatakan: "Bagi NSF, keutamaan saya adalah memastikan mereka dapat memberi sumbangan kepada kapal mereka dan juga menikmati masa mereka dalam NS.
"Bagi Anggota Tetap, keutamaan saya adalah mengingatkan mereka tentang kepentingan peranan mereka dan kemahiran asas mereka; supaya mereka dapat terus berkhidmat dengan penuh minat, serta seluruh kapal mereka selamat."
ALSO READ IN PEOPLE
Membawa kepakaran awam mereka untuk menyumbang lebih banyak dalam NS
22 Jan 2026
Pada 21 Januari, SAF mengalu-alukan kumpulan terbesar anggota NS atau NSmen yang menamatkan pengajian di bawah Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat. Temui ME4 (NS) Muhammad Arief Aditya dan ME4 (NS) Mohamed Najid Bin Mohamed Sultan, yang merupakan antara pakar tentera yang baru dilantik ini.
Penjaga warisan
15 Dec 2025
Beliau membantu membina pesawat pertama RSAF. Beliau pula merupakan antara wanita pertama yang menyertai tentera laut. Beliau menguruskan krisis komunikasi ketika bunyi bip pager membawa masalah. Temui veteran-veteran ini yang melihat Singapura melalui zaman pergolakan untuk membina SAF yang kuat.
Bangkit mengatasi arus & melangkah ke hadapan untuk memimpin
13 Dec 2025
Mereka antara kumpulan graduan pegawai SAF yang terbaru tahun ini. Temui 2LT Mohamad Wira Kuriniawan dan 2LT Ryan Ong, yang masing-masing akan mengetuai Skuadron 180 Tentera Laut dan Batalion Pertama, Pengawal Singapura.

